
KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai dakwaan seorang pegawai kanan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan dikatakan terbabit isu pengambilan pekerja asing.
Menurutnya, beliau maklum mengenai penahanan itu, namun tidak boleh memberikan sebarang kenyataan.
“Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan pihak SPRM, saya tidak dapat memberikan sebarang komen,” katanya menerusi kenyataan.

Sivakumar berkata, beliau dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan SPRM, sekiranya diperlukan.
“Justeru itu, saya berharap pihak media tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak, sehingga siasatan SPRM berhubung perkara berkenaan selesai,” katanya.
The Vibes hari ini melaporkan bahawa seorang pegawai kanan kepada Sivakumar ditahan SPRM, susulan serbuan di kementerian itu pagi tadi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dalam maklum balas ringkas melalui WhatsApp kepada The Vibes.
Beliau juga mengesahkan bahawa individu lain turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan agensi pengambilan pekerja asing.
Difahamkan, penahanan itu berkaitan dakwaan mereka yang terlibat menubuhkan agensi pengambilan pekerja asing, bagi mendapatkan kelulusan daripada kementerian walaupun terdapat konflik kepentingan.
Selain itu, selepas menahan pembantu menteri terbabit dan seorang kontraktor, SPRM mempergiatkan siasatan berhubung kes berkenaan, apabila memanggil pegawai kanan kementerian untuk disoal siasat.
Menurut sumber SPRM, ketika pejabat kementerian diserbu, pihak suruhanjaya itu menyoal siasat kakitangan dan merampas dokumen berkaitan.
Ujarnya, pihak berkuasa turut menyiasat pentadbiran kementerian itu.
“Jumlah wang yang besar serta barangan dan pakaian mewah difahamkan diberikan sebagai pertukaran kontrak besar serta untuk kelulusan membawa masuk pekerja asing,” kata sumber itu.
Manakala, difahamkan, ketua di sebuah agensi di bawah KSM itu dijangka dipanggil untuk disoal siasat dalam beberapa hari lagi.
Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu, mengumumkan langkah baharu untuk menjadikan proses pengambilan pekerja asing lebih telus dan berperikemanusiaan.
Malaysia menunjukkan prestasi negatif dalam indeks hak asasi manusia global berhubung penganiayaan terhadap pekerja asing, di mana urus niaga pekerja asing Bangladesh sahaja bernilai RM7 bilion setahun.
Pekerja ini sering dieksploitasi, bekerja berjam-jam dalam keadaan tidak selamat dan tidak bersih dengan bayaran serendah RM1,500 sebulan, malah 50 peratus daripadanya gaji diperoleh selama dua tahun pertama, digunakan untuk membayar ejen. – Getaran, 13 April 2023

