JOHOR BAHRU - Sindiket salah guna pas dan manipulasi sistem permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA) dalam talian yang dipercayai melibatkan seorang pegawai imigresen sebagai 'pemudah cara' dibongkar menerusi serbuan di Setia Tropika di sini pada Isnin.
Serbuan dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Johor.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan ini merupakan kesinambungan kepada operasi yang telah dijalankan pada 2 dan 3 Mac lalu.
**media[3458504]**
Menurutnya, pasukan operasi telah menahan seorang pegawai imigresen iaitu lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ‘pemudah cara’ dalam memproses permohonan berkaitan.
"Pasukan operasi turut menyita satu unit telefon bimbit serta beberapa dokumen yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan tersebut.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah meluluskan kemudahan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori PRA kepada individu yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, pegawai terbabit disiasat di bawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Johor untuk tindakan lanjut.
Katanya lagi, selain itu, dua lagi pegawai imigresen lelaki dan seorang wanita tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Jelas Zakaria, kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen JIM dalam mempergiat penguatkuasaan undang-undang imigresen, bukan sahaja melalui tindakan di lapangan malah dengan memperkukuh pemantauan terhadap sistem digital bagi memastikan kemudahan imigresen negara tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
"Jabatan ini menegaskan bahawa sebarang cubaan menyalahgunakan kemudahan imigresen negara tidak akan dikompromi.
"JIM juga tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam salah laku dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," ujarnya.
Tegasnya, orang ramai turut digesa untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undangundang imigresen, sebagai usaha bersama memelihara integriti sistem imigresen dan keselamatan negara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.


