Lelaki bujang, janda bersekedudukan lebih setahun ditahan

9 Mar 2026 • 3:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki bujang dan seorang janda muda ditahan oleh penguat kuasa JAINJ kerana tinggal serumah tanpa nikah di sebuah rumah kampung di Johor Bahru pada awal pagi Ahad.

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki bujang dan seorang janda muda ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana tinggal serumah tanpa nikah di sebuah rumah kampung di Johor Bahru, awal pagi Ahad.

JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan cegah maksiat dilakukan penguat kuasanya pada jam 3 pagi selepas menerima aduan orang awam.

“Apabila sampai, penguat kuasa mengetuk pintu sambil memanggil penghuni rumah dan memberi salam tetapi tidak dibuka serta-merta.

“Pintu kemudian dibuka tujuh minit kemudian oleh seorang lelaki yang mengenakan tuala mandi paras lutut sebelum pihak penguat kuasa masuk membuat pemeriksaan.

“Rumah itu mempunyai dua bilik. Bilik pertama kosong dan pemeriksaan di bilik kedua mendapati keadaan gelap,” menurut kenyataan itu.

JAINJ memaklumkan penguat kuasa kemudian masuk ke bilik kedua dan menemui seorang wanita sedang baring di atas tilam dengan berpakaian baju tidur paras paha.

Pemeriksaan mendapati tilam dan selimut berada dalam keadaan tidak teratur, sementara dalam almari baju terdapat pakaian lelaki dan wanita.

Pasangan berkenaan kelihatan pucat apabila ditanya hubungan mereka berdua sebelum mengakui tiada hubungan mahram dan bukan suami isteri.

"Lelaki tersebut berusia 30-an, berstatus bujang manakala wanita pula berusia 20-an, berstatus janda dengan kedua-duanya bekerja di daerah ini.

“Berpandukan alamat dalam kad pengenalan, mereka berasal dari sebuah negeri dan daerah yang sama. Pasangan ini menyewa rumah ini secara bersama kepada tuan rumah yang tinggal tidak jauh dari situ.

“Pasangan ini mengaku mereka sudah setahun tinggal berdua di rumah ini tanpa nikah. Malah, jiran yang diperdaya percaya mereka adalah pasangan suami isteri," menurut kenyataan itu lagi.

JAINJ memaklumkan apabila ditanya penguat kuasa sama ada berhasrat bernikah, mereka mengakui merancang untuk berkahwin tetapi belum bersedia kerana pendapatan belum kukuh.

Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.