Pegawai Imigresen Tak Boleh Tolak Permohonan Pasport Atas Alasan Pemohon Tidak Fasih BM

24 Apr 2024 • 3:18 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan pegawai-pegawai Imigresen tak boleh tolak sebarang permohonan kemaskini pasport hanya kerana tidak menguasi bahasa kebangsaan.

Kenyataan ini susulan tular satu luahan daripada seorang individu berkenaan ibunya yang tidak dapat memperbaharui pasport di UTC Komtar kerana tidak boleh berbahasa Melayu.

Sementara itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan pelanggan berkenaan telah pun dibenarkan memperbaharui pasportnya.

image is not available

Foto: Bernama

“Jabatan ini memaklumkan bahawa pelanggan tersebut telah dapat memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada 22 April 2024.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa pegawai-pegawai Imigresen tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pegawai Imigresen berhak melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan.

“Namun demikian, ingin saya perjelaskan bahawa dalam melaksanakan tanggungjawab, pegawai-pegawai Imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan.

“Walaubagaimanapun, semakan ini perlu dilakukan secara profesional dan berhemah,” jelasnya.

Imigresen tak boleh tolak permohonan perbaharui pasport

image is not available

Foto: The Star

Terdahulu, seorang individu meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap kakitangan di UTC Komtar kerana menolak untuk memperbaharui pasport milik ibunya.

Menurut individu berkenaan, kakitangan di UTC Komtar menolak permohonan itu kerana ibunya tidak tahu bertutur menggunakan bahasa kebangsaan.

Kata individu itu, ibunya menghadapi masalah berbahasa Melayu kerana tidak bersekolah, namun kakitangan di UTC Komtar tidak menerima alasan itu.

Sumber: Facebook Jabatan Imigresen Malaysia