
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berasingan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menerima RM350,000 daripada seorang individu pada 13 November 2017.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, dakwaan berkenaan turut tular di beberapa platform media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan penjawat awam menerima benda berharga tanpa balasan daripada individu yang mempunyai kaitan dengan sesuatu prosiding atau urusan yang dijalankan penjawat awam terbabit.
“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kumar berkata, permohonan Order to Investigate (OTI) mengikut Seksyen 108(2) Kanun Tatacara Jenayah akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, siasatan itu termasuk merakam percakapan saksi serta mendapatkan pengesahan berhubung status siasatan terdahulu oleh SPRM.
“Masyarakat diingatkan supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kes ini sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah serta bertanggungjawab demi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai kanan SPRM disyaki terima rasuah RM350,000 disiasat appeared first on Kosmo Online.





