
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan tular kononnya seorang rakyat Malaysia berstatus pelajar ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas ditemukan membawa empat kilogram (kg) syabu di Terminal Feri Teluk Nibung, Tanjung Balai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati individu yang ditahan sebenarnya seorang lelaki warga Indonesia.
Katanya, lelaki berkenaan ditahan Polis Resor (Polres) Tanjung Balai, Sumatera Utara pada Sabtu lalu sejurus pulang melalui Terminal Feri Teluk Nibung dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Pemeriksaan ke atas beg pakaian lelaki tersebut menemukan lapan bungkusan plastik disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat empat kilogram.
“Siasatan lanjut mendapati dadah itu diserahkan oleh seorang lagi lelaki warga Indonesia di kawasan Lembah Klang untuk dibawa ke Indonesia melalui Terminal Feri Tanjung Balai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hussein, dakwaan tular yang menyebut ‘rakyat Malaysia ditahan, pelajar universiti kantoi seludup 4kg syabu’ adalah tidak benar.
Katanya, penyebaran maklumat tidak tepat itu boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“JSJN menyeru pihak berkaitan agar tidak menyebarkan sebarang berita tanpa fakta yang benar dan perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, JSJN PDRM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat risikan untuk mengenal pasti punca bekalan dadah terbabit.– KOSMO! ONLINE
The post Bukan rakyat Malaysia, pelajar ‘kantoi’ 4kg syabu sebenarnya warga Indonesia appeared first on Kosmo Online.





