Pegawai kerajaan salah guna kedudukan dipenjara, denda

LocalPolitics
4 Sep 2025 • 5:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang pegawai kerajaan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM249,900 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan kontrak pembekalan makanan petugas barisan hadapan Covid-19.

Mahkamah mendapati dia menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi ketika pandemik dengan menganugerahkan kontrak tanpa mengikut prosedur sewajarnya.

Monica Gualin, 54, yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) di Pejabat Daerah Kuala Penyu, didapati bersalah dan disabitkan oleh Hakim Jason Juga atas kedua-dua pertuduhan terbabit.

Bagi pertuduhan pertama, Monica dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM75,000 atau 18 bulan penjara kerana menggunaka kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM15,000 bagi dirinya sendiri dengan mencadangkan Syarikat Zailin untuk melaksanakan pembekalan makanan dan minuman kepada petugas barisan hadapan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Penyu.

Pertuduhan menyatakan bahawa syarikat terbabit, kepunyaan anak saudaranya Zailin Faliza, kemudiannya menerima bayaran RM49,800 daripada Cawangan Perbendaharaan Daerah Beaufort hasil rekomendasinya itu.

Bagi pertuduhan kedua, Monica dipenjara enam bulan dan denda RM174,900 atau 24 bulan penjara kerana menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM34,980 bagi anak saudaranya melalui kontrak sama.

Monica melakukan kesalahan itu pada 17 Mac 2020, di Pejabat Daerah Kuala Penyu, berkaitan satu perkara di mana dia mempunyai kepentingan kerana pemilik syarikat itu adalah ahli keluarga terdekatnya.

Setiap pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara Monica berjalan serentak.

Bagaimanapun, Monica berjaya mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pada 23 April, Monica diperintahkan membela diri terhadap pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Joe Randy Juster dan Norsham Saharom.

Monica diwakili peguam Datuk Norbert Chin.