
Siapa sangka, seorang pegawai pertanian dari Kemaman, Terengganu berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila menerima pengiktirafan berprestij di peringkat antarabangsa.
Nur Shazwani Mohd Salleh, yang bertugas sebagai Pegawai Pertanian Daerah Kemaman, mencipta kejayaan membanggakan apabila terpilih sebagai salah seorang daripada 100 penerima anugerah FAO 100 Women Heroes in Agrifood Systems and Rural Development.
Pengiktirafan itu diberikan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) bagi menghargai sumbangan serta kepimpinan wanita dalam sektor agromakanan dan pembangunan luar bandar.
Lebih membanggakan, Nur Shazwani berjaya memperoleh pengiktirafan tersebut menerusi proses pemilihan yang kompetitif di peringkat global, membabitkan 609 pencalonan daripada 131 negara anggota FAO.
Kejayaan berkenaan diraikan dalam satu majlis khas di Ibu Pejabat FAO di Rom, Itali, bersempena sambutan International Year of the Woman Farmer 2026.
Majlis tersebut turut disaksikan Duta Besar Malaysia ke Itali merangkap Wakil Tetap Malaysia ke FAO, Dato’ Shahabudeen Adam Shah.
Menerusi hantaran di media sosial, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merakamkan ucapan tahniah kepada Nur Shazwani atas pencapaian yang sekali gus mengangkat nama negara di persada antarabangsa.
Menurut kementerian itu, pengiktirafan tersebut membuktikan keupayaan dan kepimpinan wanita Malaysia dalam memperkukuh sistem agromakanan, memelihara sumber semula jadi serta memperkasakan komuniti luar bandar.
Pencapaian itu juga selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara (DAN 2021–2030) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030.
Sementara itu, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan Nur Shazwani.
Kejayaan beliau bukan sahaja menjadi kebanggaan Terengganu, malah membuktikan bahawa sumbangan pegawai pertanian tempatan turut mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.
The post Pegawai pertanian Terengganu tersenarai 100 wanita hebat FAO appeared first on The Reporter.




