
Kota Kinabalu: Seorang bekas pegawai Rela dari Tenom didakwa atas 18 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM63,000 bagi elaun penugasan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Venantius Masingga, 63, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga atas semua pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-18, Venantius didakwa mengemukakan tuntutan elaun penugasan PKP menggunakan nama isteri dan anak-anaknya yang sebenarnya tidak pernah menjalankan tugas semasa PKP dengan niat untuk memperdaya Pengarah Rela Sabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Mac 2020 hingga Ogos 2021 di Ibu Pejabat Rela Sabah.
Kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 22 April tahun ini untuk sebutan dan membenarkan Venantius diikat jamin sebanyak RM15,000, deposit RM2,000 serta seorang penjamin tempatan.
Venantius juga diperintahkan untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan sehingga kesnya selesai, menyerahkan pasportnya (jika ada) kepada mahkamah, serta diingatkan agar tidak mengganggu saksi pendakwaan. Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh melakukan pendakwaan, manakala Venantius tidak diwakili.
