Pegawai SPRM Didakwa Atas Pertuduhan Salah Guna Wang Sitaan Berjumlah RM613,000

LocalPolitics
5 Nov 2024 • 5:25 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, Selangor hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang berjumlah RM613,000.

Memetik laporan Berita Harian, tertuduh Azizun Mohamad yang memegang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya SPRM didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan berkaitan dengan operasi Op Green.

image is not available

Foto: Berita RTM

SPRM menerusi kenyataan berkata, Op Green adalah operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada tahun 2019.

Pegawai itu melakukan kesalahan tersebut antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya.

“SPRM mengambil serius dan tidak berkompromi terhadap isu integriti dan etika kerja semua pegawainya.

“Harus ditegaskan, SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Suruhanjaya terus terpelihara,” kata kenyataan tersebut.

image is not available

Foto: FMT

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.

Tambahnya, tindakan itu mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.

“SPRM tekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya,” tegasnya.