
KUALA LUMPUR - Seorang peguam ditahan kerana dipercayai bersubahat dengan seorang banduan bagi menyeludup masuk dadah ke dalam Penjara Marang.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai bersubahat membawa masuk dadah ke penjara tersebut pada 23 Disember lalu melalui seorang banduan lelaki yang juga anak guamnya selepas selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Jelasnya, suspek ditangkap ditangkap Jalan Hiliran di Pulau Kambing, di Kuala Terengganu, kira-kira 10.45 pagi, pada 29 Disember lalu.
"Setelah perbicaraan, banduan berkenaan dibawa pulang ke Penjara Marang dan diarah melalui pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas.
"Ketika pemeriksaan, pihak penjara mendapati terdapat objek asing dalam badan banduan itu lalu dihantar ke klinik penjara untuk pemantauan rapi," katanya pada sidang media hari ini.
Beliau memberitahu, banduan itu dibawa ke klinik esihatan Merchang, Marang untuk pemeriksaan, sebelum dibawa semula ke klinik Penjara Marang untuk tindakan selanjutnya.
"Dalam tempoh dua hari, pihak penjara berjaya menemukan 123 gram pil Yaba, 21 gram ganja dan Erimin 5 (13 gram) yang kesemuanya bernilai RM16,000 setelah banduan berkenaan membuang air besar.
"Jumlah dadah yang dikeluarkan itu mencukupi untuk kegunaan kira-kira 800 penagih.
"Susulan itu, pihak penjara telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Peguam itu kini direman hingga 4 Januari ini untuk siasatan lanjut Seksyen 107(C) dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairi berkata polis kini meminta kerjasama orang ramai membantu mengesan seorang suri rumah, Nurul Norasikin Aladin, 30, beralamat di Kampung Batin, Seberang Takir untuk membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata peguam itu turut disiasat mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kes membabitkan kurungan salah serta pemaksaan menyerahkan harta di sebuah bengkel di Paka, Dungun, bulan lepas. - 1 Januari, 2025
The post Peguam ditahan, disyaki subahat seludup dadah ke Penjara Marang appeared first on Scoop.

