Peguam Jenayah Popular Mahu Buka Semula Kes Amirul Nashriq, Penuntut UPNM Yang Belum Terbela

29 Jul 2024 • 7:45 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Kes melibatkan kematian bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amirul Nashriq Othman yang meninggal dunia pada tahun 2018 lalu bakal dibuka semula.

 

Buka Semula Kes Amirul Nashriq

Difahamkan, peguam terkenal iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar akan berkunjung ke kediaman Allahyarham dalam masa terdekat dan membuat persediaan untuk membuka semula kes tersebut.

Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok @rkantiktok, Ahmad Zaharil dipercayai dalam usaha untuk membawa kes itu ke muka pengadilan.

"Dalam sesi siaran langsung, ibu arwah Amirul Nashriq memberi pencerahan (tentang) apa yang berlaku kepada anaknya (sepanjang) belajar di UPNM.

"Setelah panjang lebar pencerahan diberikan, Ahmad Zaharil memaklumkan akan mengambil kes ini dan dibawa ke tengah," maklum pengendali akaun @rkantiktok pada Ahad.

Untuk info, hasil siasatan polis mendapati remaja berusia 19 tahun pada ketika itu meninggal dunia akibat lemas ketika mandi bersama-sama rakannya di Air Terjun Chamang, Bentong, Pahang pada 24 Mac 2018.

Bagaimanapun, pemergiannya menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan, ada juga yang mendakwa bahawa kematian Amirul Nashriq bukanlah disebabkan lemas tetapi kerana didera.

 

 

 

 

 



Menurut laporan Berita Harian pada 29 Mei 2018, bapa Allahyarham, Othman Yusoff, 51, dilaporkan berkata, keluarganya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis serta laporan bedah siasat anaknya.

Jelasnya, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Gopeng, pada 25 Mei 2018 selepas melihat kecederaan dialami Amirul Nashriq termasuk kesan lebam yang terdapat pada badan mangsa dua hari sebelum kejadian.

"Kami sekeluarga tidak berpuas hati kerana autopsi dilakukan tanpa kebenaran saya sebagai waris, dan hanya menandatangani surat kebenaran sejurus sampai di Hospital Bentong, Pahang.

"Laporan itu amat mencurigakan kerana kesan lebam yang terdapat pada dada anak saya dikatakan berpunca daripada terkena batu semasa lemas, sedangkan dua hari sebelum itu arwah sempat hantar gambar kepada kami menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh tiga pelajar senior," katanya.

Untuk rekod, Ahmad Zaharil sebelum ini pernah mengendalikan pelbagai kes termasuk membantu menyelamatkan seorang wanita yang ditahan atas kesalahan mencuri bekas kotak pensel untuk dihadiahkan kepada anak lelaki berusia 10 tahun, daripada menerima hukuman yang berat.

Sumber: Majoriti