Pihak berkuasa digesa segera siasat Tony Pua - UMNO Kedah

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 8:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pihak berkuasa digesa segera siasat Tony Pua - UMNO Kedah
Datuk Seri Mahdzir Khalid

ALOR SETAR – Pihak berkuasa digesa segera menyiasat bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berhubung tindakan memuat naik butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan tersebut didakwa berniat jahat dan melampaui batas perundangan sehingga mencabar kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana membabitkan dokumen yang dikatakan masih berstatus sulit serta institusi tertinggi negara.

"Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku dan Tony Pua serta DAP perlu segera disiasat serta dikenakan tindakan sewajarnya.

"Saya kira tindakan Tony Pua itu sudah melampaui batas kerana berniat jahat terhadap YDPA," katanya dalam kenyataan kepada media pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang dinyahklasifikasikan.

Beberapa muka surat kandungan minit mesyuarat itu dikongsi oleh Tony Pua menerusi akaun Facebooknya yang antara lain merekodkan pendirian Peguam Negara berhubung perkara tersebut.

Mahdzir mendakwa tindakan berkenaan turut mencabar kuasa prerogatif YDPA selain menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau berkata, sesuatu yang pelik apabila dokumen minit mesyuarat berstatus sulit yang belum dinyahklasifikasikan boleh disebarkan kepada umum.

Menurutnya, tindakan itu dipercayai mempunyai motif tertentu dan dirancang bagi mencetuskan polemik baharu berkaitan isu pengampunan bersyarat Najib.

"Kalau dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan itu telah dinyahklasifikasikan, kenapa tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan?

"Ini menunjukkan bahawa minit mesyuarat itu diperoleh secara tidak sah dan ada pihak yang sengaja membocorkannya dengan niat tidak baik, khususnya menjurus kepada memperlekehkan kuasa prerogatif YDPA," ujarnya.

Sehubungan itu, Mahdzir berkata, UMNO Kedah akan membuat laporan polis dan menggesa siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap penyebaran dokumen berkenaan.

Beliau turut meminta Tony Pua menjelaskan sumber maklumat serta bagaimana butiran minit mesyuarat tersebut diperolehi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved