Pejalan kaki warga asing maut dirempuh lori

21 Apr 2026 • 6:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pejalan kaki warga asing maut dirempuh lori
Seorang pejalan kaki warga asing maut selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Baru Dengkil, malam tadi. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Seorang pejalan kaki warga asing maut selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Baru Dengkil, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, dalam kejadian pada jam 8.46 malam itu, mangsa yang berusia lingkungan 60-an dirempuh sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih dari arah Air Hitam menghala ke Dengkil.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai melintas jalan secara mengejut sebelum dilanggar lori berkenaan yang tidak sempat menekan brek atau mengelak.

"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terperosok dan tersepit di bahagian bawah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Norhizam berkata, mangsa yang dipercayai warga Indonesia itu bekerja di syarikat pembersihan swasta telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pemandu lori lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an pula tidak mengalami kecederaan dan memiliki lesen memandu yang masih sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian. - Bernama