liza07/09/2026 - 13:04 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept – Pekat Group Berhad melalui anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Pekat E & LP Sdn Bhd (PELP), memperoleh tiga subkontrak bernilai keseluruhan RM57.18 juta bagi kerja reka bentuk, bekalan, pemasangan dan pengujian sistem pembumian serta perlindungan kilat untuk sebuah projek di Johor Bahru.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pekat berkata PELP telah melaksanakan tiga perjanjian subkontrak dengan sebuah syarikat kontraktor yang diperbadankan di Malaysia.
Kontraktor berkenaan terbabit dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan, pembinaan dan aktiviti pegangan pelaburan.
Bagaimanapun, identiti kontraktor tidak didedahkan berikutan kewajipan kerahsiaan yang terikat dengan perjanjian berkenaan.
Tiga subkontrak bernilai RM57.18 juta
Subkontrak pertama bernilai RM27.21 juta dan dilaksanakan pada 6 Julai 2026, melibatkan pembekalan, penghantaran dan pemasangan, selain kerja pengujian serta pentauliahan sistem pembumian dan perlindungan kilat.
Subkontrak kedua bernilai RM25.33 juta pula dilaksanakan pada 3 Ogos 2026 melibatkan kerja mereka bentuk, membekal, memasang dan menguji semua perkhidmatan pembumian dan perlindungan kilat (ELPS).
Sementara itu, subkontrak ketiga bernilai RM4.64 juta dilaksanakan pada 7 September 2026, melibatkan kerja membekal dan memasang sistem pembumian serta perlindungan kilat bagi sebuah pencawang.
Sumbangan positif kepada hasil dan pendapatan
Menurut Pekat, tarikh mula bagi kerja subkontrak pertama ialah 6 Julai 2026 dan kerja berkenaan dijangka siap pada September 2027, tertakluk kepada sebarang lanjutan masa atau perubahan yang diberikan mengikut terma subkontrak.
Bagi subkontrak kedua, kerja bermula pada 24 Mac 2026 dan dijangka siap pada Februari 2027, manakala subkontrak ketiga bermula pada 30 Januari 2026 dan juga dijangka selesai pada Februari 2027.
Pekat berkata, ketiga-tiga subkontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 sehingga tamat tempoh subkontrak.
Syarikat bagaimanapun memaklumkan subkontrak tersebut tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama Pekat.
Dalam pada itu, Pekat berkata pelaksanaan subkontrak berkenaan tertakluk kepada risiko operasi dan pelaksanaan biasa yang berkaitan dengan kerja pembinaan, termasuk turun naik kos, kekangan rantaian bekalan, ketersediaan tenaga kerja dan bahan, keadaan tapak, perubahan jadual, kelewatan, kecacatan, tuntutan serta risiko kredit pihak berkontrak.
Lembaga Pengarah Pekat berkata, selepas mengambil kira semua aspek subkontrak yang diperoleh, pihaknya berpandangan penerimaan kontrak berkenaan adalah dalam urusan biasa perniagaan kumpulan dan demi kepentingan terbaik Pekat.
Syarikat turut mengesahkan tiada seorang pun pengarah, pemegang saham utama, ketua pegawai eksekutif Pekat atau mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam subkontrak berkenaan. - DagangNews.com






