liza07/09/2026 - 09:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept – Shin Yang Group Bhd membeli tanah industri seluas 8.316 hektar di Kuching, Sarawak pada harga RM34 juta bagi menyokong usaha syarikat memperluas perniagaan logistik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perkapalan itu berkata, ia telah memeterai perjanjian jual beli dengan Forescom Plywood Sdn Bhd bagi pengambilalihan tersebut.
Forescom Plywood dimiliki oleh Shin Yang Holdings Sdn Bhd (SYHSB) yang juga merupakan pemegang saham terbesar Shin Yang Group.
Oleh kerana Forescom Plywood mempunyai kaitan dengan pemegang saham terbesar Shin Yang Group, pengambilalihan itu dikategorikan sebagai urus niaga pihak berkaitan.
Tanah berkenaan terletak di kawasan perindustrian Kuching dan berhampiran Pelabuhan Kuching. Ia kini digunakan oleh Shin Yang yang menyewanya daripada Forescom Plywood.
Miliki Aset Yang Sebelum Ini Disewa
Menurut Shin Yang, pengambilalihan itu akan membolehkan Shin Yang memiliki sendiri tapak yang selama ini disewanya daripada Forescom Plywood.
Tapak berkenaan terdiri daripada sebuah bangunan pejabat setingkat, kuarters pekerja, bengkel serta beberapa bangunan lain.
Antara perancangan yang dikenal pasti termasuk pembangunan gudang dan depoh kontena bagi membolehkan kumpulan menawarkan perkhidmatan logistik secara menyeluruh.
Shin Yang berkata pembelian tapak tersebut akan dibiayai menerusi gabungan pembiayaan bank dan dana yang dijana secara dalaman. - DagangNews.com





