Pekat raih tiga kontrak solar PV bernilai RM14.2 juta dengan kapasiti 6.5MWp

Business & Finance
30 Nov 2023 • 4:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pekat raih tiga kontrak solar PV bernilai RM14.2 juta dengan kapasiti 6.5MWp

diyana

30/11/2023 - 16:16

KUALA LUMPUR 30 Nov - Pekat Group Berhad telah menerima tiga kontrak bernilai RM14.2 juta untuk projek sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung dengan gabungan kapasiti 6.5 megawatt-puncak (MWp).

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pekat berkata anak syarikatnya, Pekat Solar Sdn Bhd memperoleh tiga surat anugerah (LOA) tersebut daripada MFP Solar Sdn Bhd melibatkan kerja reka bentuk, pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan sistem solar PV.

MFP Solar ialah usaha sama 55:45 milik bersama antara unit Mega First Corporation Berhad, Mega First C&I Solar Sdn Bhd, dan anak syarikat Pekat, Pekat Teknologi Sdn Bhd untuk menjalankan projek solar di Malaysia.

Syarikat itu berkata, projek terbabit disasarkan siap dalam tempoh enam hingga sembilan bulan selepas pelantikan.

Projek-projek ini dijangka memberi kesan positif kepada kedua-dua aset bersih dan pendapatan Pekat apabila berjaya disiapkan.

Pekat berkata pencapaian ini mengukuhkan komitmen tidak berbelah bahagi syarikat untuk meletakkan standard kecemerlangan baharu dalam landskap tenaga solar Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Pekat, Tai Yee Chee menekankan kesan kewangan positif dari LOA ini, mendorong pertumbuhan kukuh syarikat.

image is not available
Tai Yee Chee

"Membentuk sekitar 8% daripada hasil yang diaudit untuk 2022, berjumlah RM179 juta, LOA ini menandakan sumbangan besar kepada kestabilan kewangan dan kemakmuran berterusan Pekat," katanya.

Berikutan pencapaian ini, Tai berkata syarikat itu terus komited menyediakan rumusan tenaga solar yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi untuk memperkasakan pelanggan dalam mengurangkan kos tenaga, meminimumkan kesan alam sekitar dan menerima masa depan yang mampan.

Setakat pukul 4:13 petang ini, saham Pekat susut 0.5 sen atau 1.2% kepada 42.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM274.1 juta. - DagangNews.com