
DUNGUN – Kehidupan sekumpulan 500 penduduk Kampung Tepus, Hulu Dungun di sini bukan sahaja diselubungi resah, malah mereka mengalami kerugian RM100,000 apabila tanaman mereka dimusnahkan gajah liar sejak lebih setahun lalu.
Penduduk mendakwa, sepanjang tempoh tersebut, enam kebun kelapa sawit, kelapa dan pisang telah dirosakkan oleh kumpulan ‘abang besar’ itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Tepus, Mat Zaid Abdulah berkata, terbaharu dua lagi kebun pisang penduduk dimusnahkan pada Rabu lalu.
“Kumpulan gajah liar keluar masuk dari hutan berhampiran ke kampung kami untuk mencerobohi kebun sejak kira-kira setahun lalu.
“Secara keseluruhan sudah lebih tujuh hektar kebun pisang, kelapa sawit (empat hektar) dan kelapa (sehektar) musnah dikerjakan kumpulan haiwan mamalia terbabit,” katanya.
Menurut Mat Zaid, impak serangan gajah liar itu amat besar buat penduduk kampung memandangkan mereka rata-ratanya bergantung hidup dengan hasil pertanian.
Tambahnya, penduduk sudah mengambil pelbagai langkah untuk menghalau kumpulan haiwan liar terbabit termasuk membakar mercun, namun tidak berkesan.
“Kami merayu pihak berwajib mengambil tindakan drastik bagi membantu menyelesaikan isu tersebut,” katanya.
Seorang penduduk, Ahmad Nazri Mat Hasam, 58, pula mendakwa, ancaman kumpulan gajar liar terbabit makin serius apabila mereka sudah mula dilihat berada di tepi jalan kira-kira satu kilometer dari kawasan penempatan baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung memberitahu, tindakan susulan akan diambil pada kadar segera bagi mengatasi isu tersebut.
The post Gajah liar makin mengganas, makin berani dekat appeared first on Kosmo Online.




