
Pekerja Australia Ada Hak, Boleh Abai “Call” & Mesej Majikan Di Luar Waktu Kerja
Australia akan memperkenalkan undang-undang yang membenarkan pekerja mengabaikan panggilan dan mesej ‘tidak bersebab’ daripada majikan di luar waktu kerja.
Menurut Anadolu Agency, majikan yang melanggar undang-undang tersebut berpotensi dikenakan penalti.
Wakil kerajaan berkata, undang-undang berkenaan dibentangkan di parlimen akhir minggu ini.
Manakala tujuan undang-undang itu diperkenalkan pula adalah untuk mengembalikan keseimbangan antara waktu kerja dan hidup kepada para pekerja.
Pekerja Australia ada hak abai call, mesej majikan diluar waktu kerja
Sementara itu, Menteri Pekerjaan, Tony Burke berkata kerajaan sudah pun mendapat sokongan majoriti Senator dalam perkara tersebut.
Pemimpin Parti Demokrasi Sosial The Greens, Adam Bandt turut mengesahkan sokongan Ahli Parlimennya terhadap undang-undang berkenaan.
Kata Adam, undang-undang itu akan memberikan hak kepada para pekerja untuk tidak menerima panggilan atau membalas mesej ‘tidak bersebab’ majikan.
“Jika anda diminta membalas email, menjawab panggilan atau menyunting dokumen pada hari cuti, maka undang-undang ini untuk anda.
“Selepas ini, anda ada hak untuk mengabaikan arahan tersebut di luar waktu berkerja” katanya.
Katanya lagi, majikan tidak boleh mengganggu pekerja 24/7 secara tidak wajar jika mereka tidak dibayar.
“Kami tahu ia tidak baik untuk kesihatan & hubungan. Sebab itulah Perancis dan lebih 20 negara lain ada undang-undang untuk melindungi work-life balance pekerja.
“Kerajaan Australia juga akan melakukan perkara yang sama,” katanya.
Adam turut mendedahkan secara purata, rakyat Australia bekerja lebih masa tanpa bayaran masa selama enam minggu setiap tahun.
“Enam minggu itu sebenarnya adalah masa untuk diri kamu, bukan untuk majikan,” katanya lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, banyak syarikat di Australia sebenarnya sudah pun mempunyai polisi seperti undang-undang ini.
“Apa yang kami cuba sampaikan adalah seseorang yang tidak dibayar untuk bekerja 24 jam sehari tidak patut dihukum jika mereka tidak boleh dihubungi atau bersedia 24 jam,” katanya.
Sumber: Anadolu Agency
The post Pekerja Australia Ada Hak, Boleh Abai “Call” & Mesej Majikan Di Luar Waktu Kerja appeared first on Siakap Keli.


