Pekerja bebas didakwa menipu lebih RM200,000 selesai kes pekerja asing

LocalPolitics
20 Feb 2025 • 5:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang pekerja bebas dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan menipu membabitkan nilai lebih RM200,000 bagi menyelesaikan kes melibatkan pekerja asing tahun lalu - Gambar hiasan

SEREMBAN - Seorang pekerja bebas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan menipu membabitkan nilai lebih RM200,000 bagi menyelesaikan kes melibatkan pekerja asing tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Syaqirin Saiful, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menipu seorang lelaki berusia 34 tahun dengan memperdayakannya membuat pembayaran sebanyak RM245,500 atas tawaran penyelesaian dengan pihak Imigresen bagi kes melibatkan pekerja asing sedangkan dalam pengetahuan tertuduh tidak melakukan kerja tersebut.

Ia telah mendorong mangsa menyerahkan wang tersebut kepada tertuduh yang mana tertuduh tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan berkenaan dilakukan antara 8 Jun 2024 hingga 26 Julai 2024 di sebuah premis di Jalan S2 B21, Pusat Dagangan Seremban 2 di sini.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 dan sebutan semula kes 17 Mac ini.