
KUALA LUMPUR – Kerajaan sekali lagi menegaskan komitmennya kepada pekerja gig dengan mengiktiraf mereka sebagai “wira moden” yang dilindungi di bawah Rang Undang-undang Pekerja Gig (RUU) yang baru diluluskan.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata demikian di hadapan lebih 1,500 penunggang yang menyertai program Penang Rider Jalan Teruih sejauh 3km di Permatang Pauh, hari ini.

Program ini merupakan sebahagian siri jelajah penerangan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini.
Acara itu, yang menampilkan konvoi motosikal selain penyertaan pelbagai kelab penunggang motosikal, menjadi platform jangkauan di mana pekerja gig menerima penjelasan langsung mengenai hak mereka terhadap perlindungan buruh, keselamatan sosial dan perlindungan undang-undang di bawah undang-undang baharu.
Sim turut menjawab semua persoalan yang dikemukakan komuniti pekerja gig tersebut sepanjang sesi dialog, menggariskan bahawa Rang Undang-undang itu melangkaui perundangan - ia merupakan pengiktirafan rasmi terhadap peranan penting mereka dalam memacu ekonomi digital dan perkhidmatan Malaysia.
“RUU Pekerja Gig bukan sekadar undang-undang. Ia adalah pengiktirafan bahawa pekerja gig merupakan wira moden yang menyumbang kepada ekonomi negara.
"Siri jelajah ini akan diteruskan ke negeri-negeri lain bagi memastikan setiap pekerja gig mendapat maklumat, perlindungan dan manfaat sepenuhnya di bawah RUU Pekerja Gig," katanya.
Program anjuran Perkeso dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang serta Pusat Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), turut disertai kelab motosikal seperti Xtreme Bikers Club, MSBKC, Northern Versy Owner Group, Zontes 368G Northern Rider Club, PMTC, Sahabat Honda Penaga, ATMS dan RRC Grab 2W Pulau Pinang.
Selain sesi soal jawab, program itu turut disajikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal elektrik dan lebih 400 hadiah menarik. – 22 September 2025
The post Pekerja gig ‘wira moden’ penyumbang ekonomi negara: Steven Sim appeared first on Scoop.

