Pekerja gudang didakwa tunggang motosikal bawah pengaruh alkohol, cederakan dua peserta larian

5 Oct 2026 • 5:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pekerja gudang didakwa tunggang motosikal bawah pengaruh alkohol, cederakan dua peserta larian
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja gudang platform e-dagang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada isnin atas pertuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan terhadap dua peserta acara larian pada Sabtu lepas.

Muhammad Saiful Sabinee, 21, didakwa menunggang motosikal secara melawan arus dengan kadar alkohol sebanyak 184 miligram dalam 100 mililiter darah sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Mazni Lamin, 50, dan Azwan Ibrahim, 41, di Jalan Munshi berhampiran gedung pakaian di sini jam 6.14 pagi pada 3 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.

Seksyen itu juga memperuntukkan bahawa tertuduh boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang tujuh tahun daripada tarikh sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan terhadap Muhammad Saiful yang tiada lesen memandu.

Peguam Muhammad Iqbal Azmi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Muhammad Saiful, memohon supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih bujang dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

"Anak guam saya mempunyai empat adik-beradik dengan seorang daripada mereka masih bersekolah, dan hari ini ibunya hadir untuk menjamin tertuduh," katanya.

Majistret Aliaa Anwar membenarkan Muhammad Saiful diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 7 Jan 2027 untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penunggang motosikal dipercayai dalam keadaan mabuk bertindak melawan arus sebelum melanggar dua peserta larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 pada awal pagi Sabtu lepas semasa laluan berkenaan ditutup bagi acara larian tersebut.

Siasatan awal polis mendapati penunggang motosikal berkenaan bersama pembonceng, lelaki berusia 19 tahun telah melepasi laluan yang ditutup menggunakan kon dan penunggang telah diarahkan berhenti oleh anggota polis yang sedang menjalankan penugasan penutupan jalan.

Bagaimanapun, penunggang motosikal itu bertindak melarikan diri secara melawan arus sebelum melanggar dua peserta maraton yang sedang berlari. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved