PORT DICKSON - Seorang lelaki maut, manakala isteri dan anak perempuannya cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki tiga beranak itu bertembung dengan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol di Kilometer 13.5, Jalan Lukut-Sepang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, pemandu kereta berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala isterinya berusia 32 tahun dan anak perempuan mereka berusia lima tahun mengalami kecederaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dipandu lelaki berumur 46 tahun dari arah Lukut menghala ke Sepang dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut.
"Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Saringan awal mendapati ujian air kencingnya negatif, namun ujian pernafasan menunjukkan bacaan alkohol melebihi had yang dibenarkan.
"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala permohonan reman akan dibuat pagi ini dan siasatan lanjut masih diteruskan. - Bernama






