Pekerja kilang dikhuatiri lemas jatuh Jambatan Putra

4 Mar 2025 • 11:01 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
(Kanan) Anggota bomba melakukan pencarian mangsa selepas operasi SAR diaktifkan. (Kiri) Motosikal dipercayai milik mangsa yang ditemui ditinggalkan di atas Jambatan Putra di sini. Foto JBPM Pahang

KUANTAN - Seorang pekerja kilang dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke Sungai Kuantan dari Jambatan Putra di sini, tengah malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ke atas lelaki berusia 22 tahun itu dilaporkan kira-kira jam 10.43 malam oleh orang awam (saksi) yang melalui laluan itu.

Menurutnya, kejadian itu disedari selepas saksi itu ternampak sebuah motosikal ditinggalkan di atas jambatan dalam keadaan enjin masih hidup.

"Di atas motosikal itu dijumpai sebuah telefon bimbit dalam keadaan sedang membuat panggilan video.

"Curiga dan syak ada mangsa terjatuh dari jambatan, saksi terbabit terus hubungi talian kecemasan 999 memaklumkan kejadian," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan jam 11.30 malam dengan bantuan Agensi Penyelamat Daerah Kuantan termasuk bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, dua anjing pengesan, Frankie dan Denti dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba akan digerakkan dalam operasi SAR itu.

Beliau berkata, operasi turut dibantu anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Kuantan.