KOTA BELUD – Seorang pekerja korek pasir ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika sedang menarik pasir menggunakan bot dalam kejadian di Kampung Paka-Paka, pada Khamis.
Mangsa, Vinsensius Sare Tukan, 42, warga Indonesia, ditemukan kira-kira jam 11.20 pagi Jumaat pada kedalaman lapan meter di lokasi dia dipercayai terjatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 malam Khamis.
Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6 petang semasa menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini memasuki hari kedua menggunakan teknik pencarian di permukaan dan tepi sungai.
“Selepas beberapa jam, mayat mangsa akhirnya ditemukan pada kedalaman lapan meter di lokasi sama dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Elge berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR kemudian ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.






