Pekerja maut, JKKP henti kerja tapak binaan

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 8:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Analisis teknikal: Kronologi kemalangan maut di Tapak Bina Bukit Minyak.

BUKIT MERTAJAM – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan Notis Larangan serta Surat Arahan bagi menghentikan kerja serta-merta di sebuah tapak pembinaan di Taman Perindustrian Bukit Minyak susulan kemalangan maut yang berlaku pada 19 Mac lalu.

Pengarah JKKP Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu, mangsa yang merupakan pekerja warga asing dan bekerja dengan subkontraktor terlibat dalam kerja pemasangan bumbung di aras ‘roof slab’ sebelum ditimpa kemalangan.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada 24 Mac lalu di Hospital Seberang Jaya akibat komplikasi kecederaan parah selepas terjatuh dari tempat tinggi.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila beban papan lapis yang diangkat menggunakan kren bergerak terlepas daripada ikatan sebelum jatuh menghempap mangsa.

“Situasi itu menyebabkan mangsa terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter, sekali gus menunjukkan kegagalan serius dalam pengurusan keselamatan di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, sebarang bentuk kecuaian atau kegagalan mematuhi perundangan keselamatan merupakan kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi.

Menurutnya, majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengenal pasti bahaya di tempat kerja, melaksanakan pentaksiran risiko serta mengambil langkah kawalan sewajarnya sebelum sesuatu kerja dimulakan.

“Insiden seperti ini boleh dielakkan sekiranya majikan mematuhi prosedur keselamatan dan melaksanakan kawalan risiko secara berterusan, khususnya bagi aktiviti berisiko tinggi,” katanya.

Dalam masa sama, Hairozie berkata, semua majikan, kontraktor dan subkontraktor diingatkan agar tidak memandang ringan aspek keselamatan, terutama melibatkan kerja di tempat tinggi serta operasi menggunakan kren.

"Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak sepatutnya berlaku," ujarnya.