
Beberapa hari lepas telah tular sebuah kejadian mengenai seorang pelancong asing yang mendakwa dirinya telah ditipu oleh seorang tukang gunting rambut di Bukit Bintang.
Bagaimanapun hari ini, pemilik perniagaan itu serta dua orang pekerja asing kedai terbabit yang mengenakan caj RM120 kepada pelancong berkenaan telah dikenakan tindakan di atas kesalahan tiada penandaan harga.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, susulan aduan oleh orang ramai yang dikesan melalui media sosial, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap kedai tersebut.

“Hasil pemeriksaan, kita dapati terdapat dua warga asing dipercayai bekerja di premis tersebut iaitu lelaki warga Pakistan dan Algeria.”
“Bagaimanapun, lelaki warga Algeria dipercayai pekerja sambilan sudah mengaku secara lisan mengenai caj tingga yang dikenakan kepada pelancong,” katanya.
Bercakap lanjut tentang operasi berkenaan, Ariffin memberitahu, kedai tersebut didapati tiada tanda harga yang dipamerkan di premis itu yang membuatkan mereka sewenang-wenangnya memanipulasi harga perkhidmatan.
Difahamkan, pemilik perniagaan itu akan dipanggil ke pejabat KPDN untuk siasatan lanjut manakala, kedua-dua pekerja warga asing itu telah pun hadir ke pejabat dan memberi keterangan.
Menurut Ariffin, tindakan kes terbabit akan diambil bawah AKHAP 2011 berkaitan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga di dalam premis.
Terdahulu, dua orang pelancong dari Filipina dan England telah dicaj sebanyak RM120 untuk potongan rambut biasa. Rata-rata netizen terkejut dengan harga yang dikenakan sedangkan untuk potongan rambut biasa harganya sepatutnya RM15-RM20.
Ohh patutla hari tu ada cerita pasal pelancong kena scam masa gunting rambut tu…
Sumber : Kosmo!
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

