Pekerja padam data, buat tempahan palsu, Black ditipu lagi

LocalBusiness & Finance
17 Oct 2026 • 2:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pekerja padam data, buat tempahan palsu, Black ditipu lagi

KUALA LUMPUR – Penyanyi Black Hanifah mengakui serik mempercayai orang luar untuk menguruskan perniagaannya selepas terutama selepas dia mendakwa menjadi mangsa penipuan buat kali kedua membabitkan seorang kakitangan vilanya.

Lebih mengecewakan, individu yang bekerja selama lima bulan dengan gaji RM4,000 sebulan bagi menjaga 11 bilik di vilanya di Pulau Langkawi itu sudah dilayan seperti keluarga sendiri.

“Kesalahan saya adalah melayan kakitangan seperti keluarga. Saya sebenarnya mahukan hubungan yang rapat antara majikan dengan kakitangan. Mungkin dengan cara itu membuatkan kita selesa.

“Tapi, saya silap. Bila saya buat macam itu maka saya ditipu dan ini sudah masuk kali kedua oleh pekerja yang berbeza,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video Terlerai Sudah di sini semalam.

Menurut Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 38, pihaknya telah membuat laporan polis pada September lalu berhubung dakwaan pecah amanah tersebut serta menyerahkan bukti dan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

Katanya, pekerja berkenaan mengabaikan pertanyaan bakal pelanggan, memadam data mereka serta membuat tempahan palsu sehingga tahun depan.

“Kerugian bukan dalam bentuk wang tunai, tetapi kehilangan hampir 100 orang pengunjung vila saya,” ujarnya.

Black berkata, perkara itu diketahui ketika dia bercuti bersama keluarga sehingga hampir setengah hari dihabiskan dengan bertengkar menerusi telefon, sekali gus menjejaskan emosi mereka.

“Anak-anak saya terpaksa dengar perbualan kami. Kasihan mereka, percutian yang sepatutnya dinikmati sekeluarga bertukar tragedi maki hamun di telefon,” kongsinya.

Dakwanya, masalah berlarutan selepas pulang bercuti apabila timbul tuduhan dalam media sosial bahawa dia tidak membayar gaji pekerja terbabit, namun penyanyi itu menafikannya dan menegaskan tidak pernah berniat menganiaya kakitangannya.

Susulan kejadian itu, Black dan isteri akan menguruskan sendiri vila dengan bantuan tiga kakitangan sedia ada, manakala isterinya kini sudah mahir mengendalikan sistem tempahan.

Dalam pada itu, Black bersedia memaafkan individu berkenaan dan tidak berhasrat menuntut ganti rugi atau membawa perkara tersebut ke mahkamah sekiranya dia tampil meminta maaf.

“Kalau ikutkan, saya boleh tuntut ganti rugi. Tapi saya tak sampai ke tahap itu. Biarlah orang aniaya kita, jangan kita aniaya orang sebab dia masih ada anak dan isteri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pekerja padam data, buat tempahan palsu, Black ditipu lagi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved