Masalah bahu padam impian pingat Johnathan

26 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Masalah bahu padam impian pingat Johnathan

PETALING JAYA: Hasrat penembak negara, Johnathan Wong Guanjie untuk menghadiahkan pingat pada penampilan keempatnya di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian selepas masalah kestabilan bahu menjejaskan bidikannya dalam acara 10 meter (m) air pistol lelaki.

Johnathan yang menjadi sandaran pingat buat negara terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-23 daripada 60 peserta selepas mengumpul 572-18x mata dalam aksi yang berlangsung di Lapangan Sasar Menembak Aichi, kelmarin.

Atlet berusia 34 tahun itu berkata, persiapan dari segi fizikal dan psikologi berjalan lancar, malah dia memasuki gelanggang dalam keadaan tenang.

Bagaimanapun, masalah mula timbul ketika dia mengangkat pistol untuk melakukan bidikan apabila kestabilan bahunya tidak berada pada tahap seperti ketika latihan.

“Masalahnya apabila saya angkat pistol dan mula membidik, dari segi fizikal agak sukar untuk dikawal hari ini.

“Kestabilan di bahu agak kurang menyebabkan pistol banyak bergerak. Apabila saya melepaskan tembakan, saya tidak dapat menghasilkan bidikan yang tepat,” katanya.

Johnathan berkata, keadaan itu memaksanya melakukan beberapa penyesuaian ketika pertandingan, namun usaha itu tidak banyak membantu untuk mengembalikan kestabilan bidikannya.

Selain masalah fizikal, katanya, keadaan pencahayaan di lapang sasar yang lebih terang berbanding kebiasaan turut menyukarkan proses membidik sejak hari pertama.

“Cabaran biasanya adalah persaingan, tetapi kali ini sedikit berbeza kerana perjalanan yang jauh dan pencahayaan di dalam lapang sasar juga berbeza.

“Sejak hari pertama, saya rasa agak sukar untuk mendapatkan bidikan kerana cahaya di bahagian hadapan terlalu terang,” katanya.

Jonathan yang turut beraksi dalam acara 10m air pistol berpasukan campuran bersama Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin, semalam, turut berdepan kekecewan selepas gandingan tersebut menamatkan saingan di kedudukan kelapan daripada 21 peserta sekali gus gagal mara ke kelompok empat terbaik bagi pemburuan pingat. – UTUSAN

The post Masalah bahu padam impian pingat Johnathan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved