
SHAH ALAM, 17 OKT: Pekerja am sektor pembinaan dianggarkan menerima upah antara RM2,080 hingga RM2,600 sebulan, melebihi kadar gaji minimum baharu RM2,000 yang diumumkan kerajaan.
CIMB Securities berkata kadar upah harian pekerja am dalam sektor itu ketika ini dianggarkan antara RM80 hingga RM100, tidak termasuk bayaran kerja lebih masa dan kos berkaitan tenaga kerja lain.
Menurut firma pembrokeran itu, berdasarkan andaian 26 hari bekerja sebulan, kadar upah berkenaan bersamaan RM2,080 hingga RM2,600 sebulan.
“Ini melebihi kadar gaji minimum baharu RM2,000 sebulan yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu,” menurut nota penyelidikan firma itu seperti dilaporkan BH Online.
Sehubungan itu, kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan yang berkuat kuasa Jun 2027 dijangka memberi kesan minimum kepada kontraktor pembinaan tempatan.
Kerajaan turut mengumumkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerja separa mahir dan graduan. Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada keperluan gaji minimum baharu RM2,000 itu.
Dalam perkembangan berkaitan, CIMB Securities berkata cadangan mekanisme levi berperingkat bagi pekerja asing di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berpotensi memberi tekanan kos lebih ketara kepada kontraktor.
“Mekanisme berkenaan turut meliputi beberapa sektor termasuk sektor pembinaan, namun masih belum dimuktamadkan,” menurut nota itu.
Kerajaan sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan kenaikan levi tahunan pekerja asing antara RM300 hingga RM500. Ketika ini, kadar levi ditetapkan pada RM1,850 di Semenanjung Malaysia dan RM1,010 di Malaysia Timur.
CIMB Securities mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor pembinaan berikutan prospek pasaran kerja yang masih sederhana dan kos input yang kekal tinggi.
Bagaimanapun, pengenalan semula klausa variasi harga bagi diesel dan bitumen dijangka dapat mengurangkan sebahagian tekanan kos yang ditanggung kontraktor, meskipun mekanisme pelaksanaannya masih belum didedahkan.
Bagi pilihan pelaburan dalam sektor itu, firma berkenaan mengekalkan saranan ‘beli’ bagi Gamuda Bhd dan IJM Corporation Bhd.
Menurut CIMB Securities, kedua-dua syarikat itu berada pada kedudukan lebih baik untuk menguruskan peningkatan kos buruh menerusi penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), yang menyokong automasi, meningkatkan kecekapan pembinaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.






