
MELAKA: Seorang pekerja stor dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan 30,460 liter minyak diesel tanpa lesen di sebuah premis dekat Krubong, dua tahun lepas.
Chee Hoe Kee, 54, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Menurut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama dua warga Bangladesh iaitu Md Masud Rana dan Jamal Uddin mempunyai dalam kawalan barang kawalan berjadual iaitu bahan api diesel sebanyak 30,460 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan, di bawah Peraturan 31(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong atau runcit tanpa lesen.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini, kira-kira pukul 4.30 petang pada 1 September 2022.
Berikutan itu, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Pada prosiding hari ini, hanya Chee berada di mahkamah manakala dua warga Bangladesh terbabit tidak hadir.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norhysham Md Noor dan Muhammad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin ditawarkan pihak pendakwaan, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana dia kini tidak bekerja.
Pihak pendakwaan turut memaklumkan saman belum dapat diserahkan kepada dua warga Bangladesh berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin, selain menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes serta status saman dua tertuduh yang lain. -Bernama
