Pelabur asing jual ekuiti RM1.97 bilion, minggu ke-25 berturut-turut di Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
14 Apr 2025 • 10:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabur asing jual ekuiti RM1.97 bilion, minggu ke-25 berturut-turut di Bursa Malaysia

image is not available

14/04/2025 - 10:03

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - Pelabur asing meneruskan rentak jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ke-25 berturut-turut dengan aliran keluar RM1.97 bilion, lebih tinggi berbanding RM426.6 juta yang dicatatkan pada minggu lalu.

MIDF Research berkata, ia merupakan aliran keluar bersih mingguan tertinggi bagi tahun ini.

Katanya, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali hari Khamis, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM114.7 juta pada hari tersebut manakala Isnin mencatatkan aliran keluar tertinggi sebanyak RM1.06 bilion.

Pada hari-hari lain, aliran keluar adalah antara RM117.7 juta hingga RM511.6 juta.

"Dua sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing ialah produk & perkhidmatan pengguna (RM5.3 juta) dan telekomunikasi & media (RM4.4 juta).

"Tiga sektor utama yang merekodkan aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM1.36 bilion), utiliti (RM136.5 juta) dan pembinaan (RM107.9 juta)," katanya dalam laporan aliran dana hari ini.

Institusi tempatan terus menjadi penampan kepada penjualan oleh pelabur asing, dengan mencatatkan belian bersih untuk minggu ke-25 berturut-turut berjumlah RM1.93 bilion.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan belian bersih untuk minggu kedua dengan aliran masuk sebanyak RM43.7 juta.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh. Pelabur asing, institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 54.7%, 120.9% dan 87.5%.- DagangNews.com

featured standard