Jualan hartanah pada 2025 diunjur mencecah RM21.5 bilion, kata Affin Hwang

14/04/2025 - 09:30
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 14 April - Sektor hartanah tempatan dijangka mencatat pertumbuhan sederhana pada 2025, dengan jumlah jualan yang diunjurkan mencecah RM21.5 bilion, kata Affin Hwang Investment Bank Research.
Katanya, pertumbuhan sederhana itu adalah disebabkan ketidaktentuan yang semakin meningkat akibat risiko yang dikaitkan dengan dengan Joe Biden dan Donald Trump.
Firma penyelidikan itu berkata, kebimbangan pelabur terhadap dasar penyebaran kecerdasan buatan (AI) yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Biden akan beterusan dan berkemungkinan bertambah di bawah pemerintahan Trump.
Keadaan itu boleh memperlahankan pengembangan pusat data oleh syarikat multinasional di Malaysia.
Affin Hwang mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor itu, kerana percaya asas-asas kukuh – seperti peningkatan kesalinghubungan, pemulihan permintaan yang dipacu sektor perindustrian dan langkah dasar yang menyokong – akan mendorong pertumbuhan jangka panjang.
Firma penyelidikan itu berkata, asas-asas itu akan disokong permintaan berterusan, peluasan infrastruktur yang sedang berjalan, dan pembangunan serantau yang strategik.
“Dengan permintaan yang meningkat dan peningkatan secara beransur-ansur dalam harga jualan purata, kami menjangkakan margin keuntungan akan bertambah baik,” katanya, sambil menambah Eco World Development Group Bhd, Sime Darby Property Bhd dan IOI Properties Group Bhd merupakan antara pemaju yang berada dalam kedudukan baik untuk merebut peluang daripada prospek positif sektor ini.
Affin Hwang berkata, pada 2024, sektor itu mencatatkan jualan kukuh sebanyak RM19.3 bilion, dengan rumah berharga di bawah RM600,000 terus memacu aktiviti pasaran.
Namun, data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara menunjukkan pemaju hanya menyumbang 17% daripada jumlah transaksi kediaman pada 2024, turun daripada 22% pada 2023.
Walaupun pelancaran baharu melonjak kepada 75,784 unit pada 2024 – tertinggi sejak 2017 – kadar serapan menurun daripada 40% pada 2023 kepada 37% pada 2024, menunjukkan selera pembeli yang semakin lemah walaupun bekalan meningkat.
Walaupun terdapat perubahan ini, Affin Hwang berkata, pemaju di bawah liputannya mengatasi prestasi pasaran secara keseluruhan, menunjukkan pertumbuhan jualan yang kukuh didorong oleh penawaran kediaman teras dan peluasan strategik ke dalam segmen perindustrian.
Pemaju juga meningkatkan bekalan sebanyak 24% di seluruh negara pada 2024, mencerminkan pandangan positif mereka, yang dipacu oleh jangkaan terhadap persekitaran ekonomi yang lebih menggalakkan dan sokongan berterusan daripada kerajaan.
Melangkah ke hadapan, Affin Hwang berkata, inisiatif utama – seperti pengecualian penuh duti setem bagi pemindahan hartanah dan perjanjian pinjaman untuk pembeli rumah pertama, duti setem rata 4%, serta kelonggaran syarat program Malaysia Rumah Keduaku– dijangka merangsang pertumbuhan lanjut pada 2025 dengan menarik pelaburan asing dan individu berpendapatan tinggi.
“Kami mengulangi penarafan "overweight" terhadap sektor hartanah, didorong sentimen pasaran hartanah yang semakin baik, kebangkitan semula projek infrastruktur berskala besar – terutamanya di wilayah Johor – jangkaan terhadap pengukuhan ringgit pada 2025 dan jualan hartanah yang tinggi secara berterusan dalam kalangan pemaju hartanah tersenarai di bawah liputan kami," katanya.- DagangNews.com
standard


