Pelabur asing jual ekuiti RM330.5 juta, minggu ke-26 berturut-turut di Bursa Malaysia

21/04/2025 - 09:32
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 21 April - Pelabur asing meneruskan rentak jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ke-26 berturut-turut dengan aliran keluar bersih sebanyak RM330.5 juta, jauh lebih rendah berbanding RM1.97 bilion pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali Jumaat, yang menyaksikan aliran masuk bersih sebanyak RM39.9 juta.
Katanya, aliran keluar tertinggi dicatatkan pada hari Rabu, sebanyak RM153.6 juta, manakala hari-hari lain mencatatkan aliran keluar antara RM16.2 juta hingga RM120.6 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran masuk bersih pada Jumaat berlaku selepas lima hari berturut-turut aliran keluar bersih.
"Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing ialah telekomunikasi & media (RM119.5 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM34.4 juta) dan hartanah (RM2.45 juta).
"Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM96.6 juta), teknologi (RM87 juta) dan pembinaan (RM80.8 juta)," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research berkata, institusi tempatan terus memberikan penampan terhadap jualan pelabur asing, mencatatkan aliran masuk bersih untuk minggu ke-26 berturut-turut sebanyak RM356.2 juta.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan membalikkan trend pembelian selama dua minggu, menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM25.7 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan penurunan secara menyeluruh. Pelabur asing, institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 48.7%, 56.7% dan 47.2%. - DagangNews.com
featured standard

