Pelabur asing jual RM415.1 juta ekuiti tempatan bagi minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research
diyana
18/03/2024 - 09:26
KUALA LUMPUR 18 Mac - Pelabur asing mengekalkan momentum jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan mencatat aliran keluar RM415.1 juta ekuiti minggu lepas, menyederhana daripada RM1.51 bilion minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, pelabur asing hanya membeli bersih RM46.5 juta pada Selasa tetapi menjadi penjual bersih pada hari-hari lain.
Pada Mac setakat ini, pelabur asing telah menjual RM2.13 bilion ekuiti tempatan.
“Sektor dengan aliran masuk asing tertinggi adalah hartanah (RM81.1 juta), pembinaan (RM37.1 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM17.7 juta).
“Sementara itu, sektor yang mencatatkan aliran keluar asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM186 juta), perladangan (RM115.7 juta) dan tenaga (RM59.6 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kaunter dengan aliran masuk asing tertinggi mengikut nilai terdiri daripada Malayan Banking Bhd (Maybank), Sime Darby Bhd dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), manakala kaunter yang merekodkan aliran keluar tertinggi adalah Public Bank Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dan Petronas Gas Bhd.
Bagi pelabur institusi tempatan pula, firma penyelidikan itu berkata mereka meneruskan trend belian bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut selepas membeli bersih RM575.8 juta minggu lalu.
Berbanding dengan pelabur asing, mereka menjual bersih pada Selasa sebanyak RM24 juta tetapi merupakan pembeli bersih pada hari-hari lain.
Pelabur runcit tempatan pula bertukar kepada penjual bersih ekuiti tempatan berjumlah RM160.7 juta minggu lalu, selepas membeli bersih seketika selama dua minggu.
Mereka mencatat aliran keluar setiap hari dan telah menjadi penjual bersih selama tujuh hari dagangan berturut-turut.
“Dari segi pergerakan pelabur, purata nilai dagangan harian (ADTV) meningkat merentasi semua kelas pelabur.
“Pelabur runcit tempatan meningkat 13.9% manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur asing menyaksikan peningkatan masing-masing sebanyak 11.2% dan 30.1%,” tambahnya. - DagangNews.com

