Pelabur asing kembali beli RM332.3 juta ekuiti tempatan selepas 26 minggu - MIDF Research

28/04/2025 - 09:27
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 28 April - Selepas 26 minggu menjadi penjual bersih, pelabur asing kembali membeli ekuiti tempatan sebanyak RM332.3 juta pada minggu lalu, kata MIDF Research.
Ia merupakan aliran masuk asing bersih minggu pertama sejak Oktober 2024.
MIDF Research berkata, pelabur asing menjadi pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Isnin dan Selasa, yang menyaksikan aliran keluar bersih masing-masing RM101.1 juta dan RM105.4 juta.
Katanya, hari-hari lain mereka menjadi pembeli bersih antara RM125.9 juta dan RM267.2 juta.
"Tiga sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM197.1 juta), telekomunikasi & Media (RM60.8 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM48.8 juta).
"Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah tenaga (RM16 juta), perladangan (RM16 juta) dan penjagaan kesihatan (RM13.3 juta)
Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan juga mengalami perubahan nasib minggu lepas, menjadi penjual bersih dan menamatkan aktiviti belian bersih selama 26 minggu berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM267.4 juta.
Katanya, ini adalah minggu pertama jualan bersih oleh institusi tempatan sejak Oktober 2024.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan melanjutkan aliran jualan bersih mereka kepada dua minggu, dengan aliran keluar RM64.9 juta, 2.5x lebih daripada aliran keluar minggu sebelumnya.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan secara meluas kecuali pelabur asing.
Institusi tempatan dan peruncit tempatan menyaksikan peningkatan masing-masing sebanyak 23.8% dan 2.2% manakala pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak 6.9%. - DagangNews.com
featured standard




