hamden16/11/2026 - 09:14 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - Institusi asing kembali menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia dengan merekodkan aliran keluar dana sebanyak RM270.2 juta, sekali gus menamatkan rentetan aliran masuk bersih selama dua minggu berturut-turut, menurut MBSB Research
Sepanjang minggu lalu, institusi asing mencatatkan jualan bersih pada tiga daripada empat hari dagangan, dengan aliran keluar tertinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM184.1 juta.
Ia diikuti aliran keluar bersih RM149.6 juta pada Khamis dan RM21.5 juta pada Rabu, manakala satu-satunya aliran masuk bersih dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM84.9 juta.
Mengikut sektor, pembinaan merekodkan aliran masuk bersih tertinggi daripada institusi asing sebanyak RM123 juta, diikuti pengangkutan dan logistik (RM66.2 juta) serta telekomunikasi dan media (RM26.8 juta).
Sebaliknya, sektor teknologi mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi sebanyak RM241.5 juta, diikuti perladangan (RM98.3 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM61.6 juta).
Sementara itu, institusi tempatan melanjutkan rentetan jualan bersih kepada tiga minggu berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar sebanyak RM56 juta.
Berbeza dengan institusi asing dan tempatan, pelabur runcit meneruskan aktiviti belian bersih untuk minggu ke-12 berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk dana sebanyak RM326.3 juta.
Dari segi aktiviti dagangan, purata volum dagangan harian (ADTV) mencatatkan penurunan merentasi semua kategori pelabur.
ADTV pelabur runcit susut 8.7%, manakala institusi tempatan merosot 24.9% dan institusi asing berkurangan 0.8%. - DagangNews.com





