Pelabur asing terus jual RM113.5 juta ekuiti tempatan bagi minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research

Business & Finance
4 Sep 2023 • 9:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabur asing terus jual RM113.5 juta ekuiti tempatan bagi minggu kedua berturut-turut, kata MIDF Research

diyana

04/09/2023 - 09:37

KUALA LUMPUR 4 Sept - Pelabur asing meneruskan jualan ekuiti di Bursa Malaysia bagi minggu kedua berturut-turut, dengan aliran keluar RM113.5 juta dalam minggu dagangan yang dipendekkan minggu lalu berikutan cuti Hari Kebangsaan pada Khamis, berbanding RM153.4 juta minggu sebelumnya.

MIDF Research dalam laporan aliran dana untuk minggu berakhir 1 September berkata, pelabur asing membeli bersih pada Isnin dan Selasa masing-masing berjumlah RM12.1 juta dan RM53.6 juta sebelum menjual bersih pada Rabu dan Jumaat masing-masing sebanyak RM139.4 juta dan RM39.8 juta.

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk mereka adalah hartanah (RM142.5 juta), pembinaan (RM40.4 juta) dan teknologi (RM30 juta).

“Tiga sektor terbawah dengan aliran keluar mereka adalah penjagaan kesihatan (RM144 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM82.2 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM60.5 juta),” katanya sambil menambah bahawa pelabur asing telah menjual bersih RM2.68 bilion setakat tahun ini.

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan mengekalkan pembelian bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut dengan aliran masuk RM191.3 juta minggu lepas, lebih rendah daripada RM277.2 juta yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Firma itu berkata mereka hanya menjual bersih RM17.1 juta pada Selasa tetapi menjadi pembeli bersih pada Isnin (RM40 juta), Rabu (RM103.5 juta) dan Jumaat (RM64.8 juta).

Setakat ini, pelabur institusi tempatan telah membeli bersih RM3.23 bilion ekuiti di Bursa Malaysia.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan jualan bersih untuk minggu kelapan berturut-turut, dengan aliran keluar RM77.8 juta minggu lalu.

Mereka hanya membeli bersih RM35.9 juta pada Rabu tetapi menjual bersih pada Isnin (RM52.1 juta), Selasa (RM36.5 juta) dan Jumaat (RM25 juta).

Setakat ini, pelabur runcit tempatan mencatatkan aliran keluar sebanyak RM550.7 juta.

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan kukuh dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing (94.3%), pelabur runcit (38.4% ) dan pelabur institusi (44.9%),” katanya. - DagangNews.com