Pelaburan pelancongan Kedah bukan macam tanam tauge - Exco

LocalTravel
14 Apr 2026 • 3:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelaburan pelancongan Kedah bukan macam tanam tauge - Exco
Mohd Salleh (kiri) pada persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman pada Selasa. Foto FB Dato Salleh Saidin

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Pelaburan dalam sektor pelancongan Kedah tidak boleh disamakan seperti tanam tauge yang memberi hasil dalam tempoh singkat sebaliknya memerlukan perancangan dan strategi jangka panjang.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pendekatan itu penting untuk memastikan sektor berkenaan terus berkembang dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

“Berhubung persoalan sama ada perbelanjaan promosi setimpal dengan pulangan, kita berpandangan bahawa pelaburan dalam promosi pelancongan ini bukanlah macam mengusahakan tauge, rendam hari ini, tiga empat hari dapat hasil.

"Sebaliknya kita berpandangan pelaburan dalam pelancongan ini merupakan strategi jangka masa panjang demi masa depan ekonomi negeri,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Selasa.

Jelas Mohd Salleh, dengan kos promosi yang relatif kecil, kerajaan negeri berupaya menarik kira-kira tujuh juta pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025).

Katanya, jumlah itu berpotensi menjana limpahan ekonomi antara RM4.9 bilion hingga RM7 bilion melalui perbelanjaan pelancong dalam sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, membeli-belah serta aktiviti pelancongan.

“Secara rasional, pulangan yang diperoleh jauh lebih besar berbanding perbelanjaan yang dikeluarkan,” ujarnya.

Beliau berkata, keyakinan terhadap pencapaian sasaran tersebut disokong oleh peningkatan data kemasukan pelawat di lokasi tumpuan, pintu sempadan serta rekod pergerakan di lapangan terbang.

Menurutnya, peningkatan turut direkodkan dari segi pergerakan penumpang dan pesawat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar serta Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Dalam perkembangan sama, beliau menafikan dakwaan bahawa Kedah menerima peruntukan RM7 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi sektor pelancongan seperti dibangkitkan Mohd Taufiq Yaacob (PN-Bayu).

"Sebenarnya saya hairan juga kalau ada peruntukan RM7 juta daripada kerajaan Persekutuan.

“Setakat ini, kerajaan negeri hanya menerima RM3 juta, selain tambahan RM1.25 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tahun lalu,” katanya.