Pengorbanan Kedah jelapang padi negara wajar diberi insentif - Sultan Kedah

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 1:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengorbanan Kedah jelapang padi negara wajar diberi insentif - Sultan Kedah
Sultan Kedah bertitah pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman pada Isnin.

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah bahawa pengorbanan Kedah mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi serta 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda wajar diberi insentif kewangan oleh Kerajaan Persekutuan.

Baginda menegaskan bahawa permohonan tersebut perlu dipertimbangkan bagi memastikan kelangsungan fungsi Kedah sebagai jelapang padi negara terus terpelihara.

Dalam masa yang sama, Sultan Sallehuddin turut menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun selain merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan pembangunan infrastruktur pertanian.

“Agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia perlu lebih agresif dalam memperkasa pembangunan sektor padi,” titah baginda pada Isnin.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman, di sini.

Sultan Sallehuddin bertitah bahawa tumpuan juga perlu diberikan kepada pembangunan benih padi berkualiti tinggi, penggunaan jentera serta teknologi moden termasuk Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan produktiviti.

Menurut baginda, skim penanaman padi secara estet juga perlu diperkasakan bagi meningkatkan hasil dan pendapatan petani secara mampan.

Sementara itu, baginda bertitah bahawa kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan lebih tegas dan proaktif dalam berdepan cuaca panas yang menyaksikan paras takungan empangan kini berada pada tahap kritikal.

Titahnya, usaha memelihara kawasan tadahan air perlu diperkukuh termasuk memantau serta membanteras aktiviti haram yang boleh menjejaskan sumber air negeri.

“Kelangsungan sektor pertanian, perindustrian serta keperluan domestik amat bergantung kepada kestabilan sumber air, khususnya daripada kawasan hutan tadahan.

“Fenomena cuaca yang semakin tidak menentu termasuk ketidakseimbangan pola hujan dan musim kemarau ketika ini memerlukan pengurusan sumber air yang mampan serta amalan pertanian yang lebih berdaya tahan,” titah baginda.

Jelas Sultan Kedah, pelan mitigasi risiko bencana perlu ditambah baik secara lebih serius bagi memastikan kesiapsiagaan negeri sentiasa berada pada tahap optimum.

Baginda turut mengingatkan semua pihak supaya mengamalkan pengurusan sumber negeri secara berhemah, cekap dan strategik dalam menghadapi ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat dan Eropah Timur.

“Amalan penjimatan perlu dijadikan keutamaan, manakala rakyat juga diseru supaya berbelanja secara berhemah dan mengamalkan sikap berjimat cermat,” titah baginda.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan berkata Kedah akan terus menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi negara.