Pelajar 19 Tahun Maut 61 Tikaman, Keluarga Masih Terkejut Kehilangan

2 May 2026 • 11:15 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Pelajar 19 Tahun Maut 61 Tikaman, Keluarga Masih Terkejut Kehilangan

Kota Bharu – Keluarga kepada seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, tengah malam tadi masih belum dapat menerima kehilangan tragis itu, apatah lagi arwah baru sahaja dihantar menyambung pengajian minggu lalu.

Abang mangsa, Mohd Faris Zulkifly, 21, berkata mereka sekeluarga datang ke Kelantan pada Sabtu lepas bagi menghantar adiknya, Nurfisya Zulkifly, memulakan semester baharu di sebuah institusi pengajian, sebelum dikejutkan dengan berita tragis tengah hari tadi.

“Kami menerima panggilan daripada pihak polis pada 12.30 tengah hari memaklumkan adik telah meninggal dunia, namun kami tidak sanggup mendengar penjelasan lanjut ketika itu dan menamatkan panggilan.

“Tanpa berlengah, kami terus bertolak dari Kuala Kangsar, Perak ke Kelantan dan tiba di sini,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini malam ini.

Beliau berkata mereka sekeluarga amat sedih kerana baru sahaja menghantar Allahyarham menyambung pengajian minggu lepas, namun kini terpaksa menguruskan kematiannya.

Terkejut Dapat Tahu Kejadian Sebenar

Menurut laporan BERNAMA, Mohd Faris berkata mereka sekeluarga pada mulanya tidak mengetahui punca kematian sehinggalah membaca laporan berita ketika dalam perjalanan di Jeli, petang tadi.

“Sebaik mengetahui kejadian sebenar, ibu dan bapa kami tidak mampu menahan kesedihan dan menangis tanpa henti kerana terlalu terkejut.

“Tiada perubahan pelik ditunjukkan arwah sebelum kejadian, namun ketika pulang bercuti ke Perak baru-baru ini, dia sempat menyatakan keinginan menikmati pelbagai makanan kegemaran,” katanya.

Beliau berkata adiknya baru memulakan pengajian semester ketiga daripada keseluruhan tujuh semester.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam kenyataan hari ini memaklumkan mayat seorang wanita ditemukan dengan 61 kesan tikaman di atas jalan berhampiran sawah Kampung Simah, Ketereh.

Mohd Yusoff berkata mangsa yang berusia 19 tahun berasal dari Perak dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – The Malaysian Update

The post Pelajar 19 Tahun Maut 61 Tikaman, Keluarga Masih Terkejut Kehilangan appeared first on The Malaysian Update.