Pelajar dakwa dilarikan dua lelaki, polis sahkan laporan palsu

14 Jul 2026 • 4:18 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Polis Kedah menyiasat laporan palsu pelajar 14 tahun yang mendakwa dilarikan dua lelaki tidak dikenali di Kuala Nerang.

Polis mengesahkan dakwaan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dilarikan dua lelaki tidak dikenali di kawasan Kuala Nerang pada 12 Julai lalu adalah tidak benar selepas siasatan mendapati laporan polis dibuat mangsa adalah palsu.

Ketua Polis Kedah, CP Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum pelajar berkenaan berjaya ditemui di tepi jalan Kota Putra, Durian Burung hasil tindakan segera polis.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan awal, mangsa mendakwa didatangi dua lelaki tidak dikenali ketika berada di hentian bas berhampiran Balai Bomba Kuala Nerang kira-kira jam 5.50 petang.

“Mangsa mendakwa matanya dan mulutnya ditutup sebelum ditolak masuk ke dalam sebuah kenderaan. Mangsa juga mendakwa kedua-dua tangan serta kakinya diikat sebelum ditinggalkan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berkenaan tidak berlaku dan laporan polis yang dibuat mangsa hanyalah rekaan akibat berasa malu serta tertekan selepas tersilap memasuki tandas perempuan di sekolahnya.

Baca juga:

Siasatan mendapati selepas tamat sesi persekolahan, mangsa tersilap memasuki tandas perempuan di kawasan surau sekolah. Ketika keluar dari tandas tersebut, mangsa terserempak dengan seorang pelajar perempuan sebelum bertindak melarikan diri kerana panik selepas ditegur serta diekori beberapa pelajar perempuan yang mempersoalkan tindakannya.

Mangsa kemudian keluar dari kawasan sekolah dan dalam keadaan tertekan telah menahan sebuah motosikal untuk ditumpangkan ke kawasan Ladang Sungai Seraya.

Selepas berjalan kaki ke arah utara tanpa tujuan, mangsa kemudiannya ditumpangkan oleh sebuah lagi motosikal sebelum diturunkan di kawasan Kota Putra, Durian Burung, tempat dia ditemui pihak polis.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

The post Pelajar dakwa dilarikan dua lelaki, polis sahkan laporan palsu appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved