ALOR SETAR - Tindakan seorang pelajar Tingkatan Dua yang membuat laporan polis kononnya diculik membongkar kejadian kes buli di sekolah lamanya, sebelum ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dakwaan pelajar lelaki berusia 14 tahun itu diculik di Kuala Nerang adalah tidak benar, sebaliknya remaja terbabit mendedahkan pernah menjadi mangsa buli ketika menuntut di sebuah sekolah di Alor Setar.
Susulan pendedahan itu, katanya, polis menahan empat pelajar Tingkatan Empat dan Lima dari sekolah lama remaja berkenaan bagi membantu siasatan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kita memandang serius kes buli dan akan meneruskan siasatan,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Selasa.
Menurut Adzli, remaja terbabit pernah membuat laporan polis pada 18 Jun lalu selepas mendakwa dipaksa mengambil makanan untuk pelajar senior.
Bagaimanapun katanya, laporan itu ditarik balik selepas penyelesaian secara kekeluargaan dicapai.
Mengulas dakwaan penculikan, beliau berkata, siasatan terperinci mendapati remaja itu sebenarnya melarikan diri kerana malu dan panik selepas tersilap memasuki tandas perempuan berhampiran surau sekolah baharunya pada Ahad lalu.
Katanya, pelajar yang baru seminggu berpindah ke sekolah berkenaan kemudian menumpang motosikal ke Durian Burung sebelum mereka cerita kononnya diculik, diikat dan ditinggalkan di tepi jalan.
“Saya pun tak menyalahkan sepenuhnya pelajar ini, mungkin disebabkan tekanan selepas dibuli dan berlaku pula insiden tersilap masuk tandas. Dalam keadaan umur yang masih muda, dia tidak boleh membuat keputusan yang matang,” katanya.
Adzli berkata, polis turut mengambil keterangan empat individu bagi membantu siasatan dakwaan culik palsu itu, termasuk mangsa, penunggang motosikal yang menumpangkannya, pemilik rumah dan anggota polis.
Kes laporan palsu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, manakala polis meneruskan siasatan kes buli mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan (Akta 574).





