
SAMBUTAN ulang tahun kelahiran ke-18 seorang pelajar University College of Yayasan Pahang (UCYP), Kuantan menjadi kenangan paling manis apabila dia memenangi sebuah kereta BMW menerusi cabutan bertuah Program
Hari Keluarga Kedai Emas Sri Semantan (KESS) di Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak Jengka, baru-baru ini.
Penerima bertuah, Rabiatul Adawiyah Osman, 18, berkata dia langsung tidak menyangka terpilih memenangi hadiah utama berkenaan kerana hadir ke program itu sekadar menemani ibunya, Nur Hashimah Jamal, 51, yang merupakan ahli KESS.
“Saya memang terkejut dan tidak sangka langsung. Hari ini merupakan hari lahir saya yang ke-18, jadi hadiah ini benar-benar menjadi kenangan paling istimewa dalam hidup saya,” katanya kepada Utusan Pelajar baru-baru ini.
Rabiatul Adawiyah yang kini mengikuti Semester 1 dalam bidang Pelancongan di UCYP berkata, kereta BMW itu tidak akan dijual, sebaliknya akan dimanfaatkan untuk kegunaan keluarganya termasuk memudahkannya berulang-alik ke universiti serta urusan ibu bapanya.
Anak kepada Osman Ani dan Nur Hashimah Jamal yang berasal dari Felda Ladang Piol, Jerantut dan bekas pelajar SMK Kuala Tembeling itu berkata, kemenangan berkenaan menjadi pembakar semangat untuk belajar lebih gigih sehingga menamatkan pengajian serta membanggakan kedua-dua ibu bapanya. –UTUSAN
The post Pelajar dapat BMW pada hari jadi ke-18 appeared first on Utusan Malaysia.



