Pelajar dirempuh di hadapan surau sekolah dibenarkan keluar hospital

LocalFamily & Parenting
30 Apr 2026 • 4:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar dirempuh di hadapan surau sekolah dibenarkan keluar hospital
Mohd Azman

KOTA BHARU - Pelajar perempuan Tingkatan Satu yang sebelum ini parah dirempuh kereta dalam kejadian di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada 12 April lepas, dibenarkan keluar hospital, pada Sabtu lepas.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, mangsa, Zara Aftar Zamzuri, 13, telah menjalani pembedahan membabitkan prosedur tampalan kulit pada cuping telinga, pada 20 April lepas.

Beliau berkata, luka pada telinga mangsa kini bersih tanpa sebarang komplikasi atau jangkitan, namun masih memerlukan pemantauan rapi oleh pakar bedah.

"Beberapa siri rawatan susulan perlu diteruskan, dianggarkan antara empat hingga lima lagi prosedur akan dijalankan kerana ia melibatkan pembedahan,” katanya kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di sini pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata, rawatan psikologi perlu diteruskan melibatkan mangsa serta ahli keluarga, bergantung kepada perkembangan emosi susulan trauma dialami mereka.

Dalam kejadian pada 12 April lepas, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang guru wanita berusia 57 tahun di SMK Tanjong Mas di sini. - Bernama