SHAH ALAM - Seramai 26 pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi (Kepujian) dari Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam menganjurkan program jalinan komuniti dalam usaha memperkasa komuniti warga emas agar kekal aktif, sihat dan berdikari.
Bertemakan 'Towards an Active and Harmonious Older Adults Community', program yang berlangsung di Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang pada 24 Mei lalu melibatkan penyertaan 32 warga emas tempatan.
Menurut salah seorang peserta, Nur Hidayah Zainal Fitri, inisiatif tersebut memfokuskan kesedaran kesihatan, pencegahan risiko jatuh dan kepentingan aktiviti fizikal yang selamat dalam kalangan warga emas.
Nur Hidayah berkata, Malaysia kini menuju ke arah status negara tua dan seiring peningkatan usia, warga emas lebih mudah mengalami kelemahan otot, masalah keseimbangan badan serta risiko jatuh.
"Namun, keadaan ini boleh dikurangkan melalui pendidikan kesihatan, saringan fizikal dan senaman yang bersesuaian.
"Justeru, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga emas, malah menjadi platform pembelajaran penting buat pelajar fisioterapi. Mereka berpeluang mengasah kemahiran komunikasi, menjalankan penilaian fizikal dan memahami keperluan sebenar komuniti warga emas.
"Pada masa sama, program sebegini turut membantu mengurangkan rasa terasing dalam kalangan warga emas melalui interaksi sosial positif dan suasana komuniti yang menyokong," katanya dalam kenyataan.
Program dimulakan dengan pendaftaran, sarapan pagi dan sesi perkongsian kesihatan bertajuk 'Pencegahan Jatuh' oleh Pakar Perubatan Keluarga dari Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Dr P Shahraanee.
Dalam perkongsian tersebut, pendedahan diberikan kepada peserta tentang kesan kecederaan akibat jatuh dan langkah mudah yang boleh diamalkan di rumah untuk membantu warga emas kekal aktif serta selamat.
Antara penekanan utama adalah kepentingan persekitaran rumah selamat, pergerakan badan yang betul dan amalan senaman secara konsisten.
Selepas sesi tersebut, peserta menjalani saringan fisioterapi yang dikendalikan oleh pelajar iCEPS UiTM di bawah seliaan Pensyarah Kanan Jabatan Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan UiTM, Dr Noor Azliyana Azizan.
Saringan yang dijalankan merangkumi penilaian komposisi badan, fungsi memori, status kesihatan, kekuatan otot, fleksibiliti, keseimbangan, mobiliti dan tahap kecergasan jantung.
Antara ujian yang dilakukan termasuk 'hand grip strength', 'biceps curl', 'five times sit-to-stand', 'timed up and go', 'single leg stance' dan 'two-minute step test' bagi membantu mengenal pasti tahap kekuatan fizikal serta risiko jatuh.
Selain itu, ukuran lilit pinggang dan lilit betis turut dilakukan bagi menilai tahap kesihatan fizikal atau risiko sarkopenia iaitu kehilangan jisim dan kekuatan otot yang lazim berlaku apabila usia meningkat.
Selepas saringan, peserta diberi peluang mendapatkan konsultasi bersama doktor dan pelajar fisioterapi serta menerima nasihat kesihatan mengikut keadaan masing-masing.
Program turut diselitkan dengan sesi 'chairobic' yang dikendalikan oleh Coach Shah iaitu aktiviti senaman berintensiti rendah khas buat warga emas.





