Pelajar Genius 12 Tahun Masuk UM, Rosmah Bangga Projek Permata Pintarnya Berjaya

Entertainment
30 Sep 2024 • 4:06 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menggemparkan Malaysia apabila menjadi mahasiswa termuda yang diterima masuk ke Universiti Malaya (UM).

Izz, atau nama penuhnya Izz Imil Shahrom, kini sedang melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di universiti tersebut.

Sementara itu, Datin Seri Rosmah Mansor menzahirkan rasa bangga terhadap kehebatan Izz Imil yang berjaya mengikut pengajian ke peringkat Sarjana Muda.

Beliau yang merupakan pencetus kepada projek Permata Pintar berkata, melihat kejayaan Izz Imil ibarat melihat kejayaan anak sendiri.

“Rasa bangga saya hari ini seolah-olah seperti dia adalah anak saya sendiri,” kata Rosmah dalam satu hantaran di Facebook.

Izz Imil merupakan produk Permata Pintar yang ditubuhkan oleh Rosmah pada April 2009 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program ini bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat muda yang berpotensi besar dalam akademik.

image is not available

Dalam pada itu, isteri kepada bekas Perdana Menteri keenam itu turut mengimbau kenangan pertama kali bertemu Izz ketika kanak-kanak itu baru sahaja menyertai program Permata Pintar di UKM.

Ketika itu, Izz baru berusia enam tahun tetapi sudah berada di Tingkatan 1, suatu pencapaian luar biasa bagi kanak-kanak diusianya.

Menurut Rosmah, Izz berjaya menamatkan O-Level ketika berusia lapan tahun dan menamatkan A-Level pada usia 11 tahun.

“Anak ini memukau saya dengan kecerdasannya semasa pertama kali saya berjumpa dengannya di Permata Pintar.

“Hari ini, saya kembali merasa bangga apabila dia menjadi mahasiswa termuda dalam sejarah Universiti Malaya sejak 1962,” tulisnya.

Difahamkan, kanak-kanak ini juga menerima sijil daripada John Hopkins Centre for Talented Youth sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap kecemerlangannya dalam akademik.

Permata Negara merupakan antara projek yang diilhamkan oleh Rosmah bersama beberapa kumpulan profesional, pendidik, ahli akademik, pakar perubatan dan lain-lain.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.