Pelajar IPG lemas ketika berkayak: KPM siasat pematuhan SOP

LocalPolitics
5 Apr 2026 • 12:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang dilaporkan lemas ketika menjalani aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.

KANGAR - Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan kejadian dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang dilaporkan lemas ketika menjalani aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah, sedang dalam siasatan pihak berkuasa, selain kementerian itu turut memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi hari ini, KPM menegaskan penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi memastikan setiap garis panduan keselamatan dipatuhi dalam penganjuran Program Pendidikan Luar Kampus.

Menurut KPM, semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya diingatkan supaya sentiasa memastikan setiap aktiviti luar mematuhi SOP yang berkuat kuasa, dengan aspek keselamatan peserta diberi keutamaan.

Dalam masa sama, KPM turut menguruskan bantuan segera kepada keluarga mangsa serta menyediakan sokongan psikososial, selain memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka yang terlibat.

“KPM menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar IPG Kampus Perlis yang mengalami kemalangan sewaktu mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus pada Sabtu. Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan Facebook rasmi IPG Kampus Perlis, dua pelajar terbabit ialah Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20.

Terdahulu, Bernama melaporkan dua individu, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an, ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan, dilaporkan berkata mayat kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira pukul 7.30 malam. - Bernama