Pelajar jatuh Bangunan: Mangsa Minta Izin Ke Tandas Sebelum Ditemui Maut

20 Jun 2026 • 7:13 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Pelajar jatuh Bangunan: Mangsa Minta Izin Ke Tandas Sebelum Ditemui Maut

REMBAU – Seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang maut terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah menengah di Seremban pada Jumaat dilaporkan sempat meminta izin ke tandas sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika sekolah mengadakan hari pelaporan akademik yang membolehkan ibu bapa mendapatkan maklumat mengenai perkembangan serta pencapaian anak masing-masing.

Menurut beliau, bapa mangsa turut berada di sekolah pada ketika itu sebelum dimaklumkan mengenai insiden yang menimpa anaknya.

Mohd Azam berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, pelajar berusia 16 tahun itu berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku atau petanda luar biasa ketika hadir ke sekolah pada sebelah pagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada petunjuk yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan unsur buli.

Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak sekolah telah diarahkan menjalankan penelitian lanjut bagi mengenal pasti faktor yang mungkin menyumbang kepada kejadian tersebut.

Menurutnya, setakat ini juga tiada maklumat yang menunjukkan mangsa mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak berkuasa dan meminta orang ramai agar tidak menyebarkan gambar atau rakaman berkaitan insiden berkenaan demi menghormati privasi keluarga.

KPM juga akan menyediakan bantuan psikososial kepada ahli keluarga, rakan sekelas serta guru yang terkesan dengan kejadian itu.

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai seorang pelajar yang ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah pada kira-kira pukul 10.48 pagi.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan saksi dan laporan bedah siasat. – Bernama

The post Pelajar jatuh Bangunan: Mangsa Minta Izin Ke Tandas Sebelum Ditemui Maut appeared first on The Malaysian Update.