Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta izin ke tandas sebelum ditemui maut

20 Jun 2026 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta izin ke tandas sebelum ditemui maut
Ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah menengah dilihat tidak dapat menahan sebak ketika menerima kunjungan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Unit Forensik Hospital Rembau pada Jumaat. Foto Bernama.
Image from: Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta izin ke tandas sebelum ditemui maut
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (kanan) menyantuni ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah menengah di daerah ini ketika mengunjungi Unit Forensik Hospital Rembau pada Jumaat. Foto Bernama.
Image from: Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta izin ke tandas sebelum ditemui maut
Seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang maut terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah menengah di Seremban pada Jumaat.
Image from: Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta izin ke tandas sebelum ditemui maut
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad (kanan) berbincang dengan Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman (dua, kiri) berhubung kejadian seorang pelajar perempuan maut di Unit Forensik Hospital Rembau pada Jumaat. Foto Bernama

REMBAU – Seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang maut terjatuh dari tingkat tiga di sebuah sekolah menengah di Seremban pada Jumaat dilaporkan sempat meminta izin ke tandas sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika sekolah mengadakan hari pelaporan akademik yang membolehkan ibu bapa mendapatkan maklumat mengenai perkembangan serta pencapaian anak masing-masing.

Menurut beliau, bapa mangsa turut berada di sekolah pada ketika itu sebelum dimaklumkan mengenai insiden yang menimpa anaknya.

“Arwah dikatakan meminta izin untuk ke tandas sebelum pihak sekolah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Rembau malam tadi.

**media[3557165]**

Mohd Azam berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, pelajar berusia 16 tahun itu berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku atau petanda luar biasa ketika hadir ke sekolah pada sebelah pagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada petunjuk yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan unsur buli.

“Ketika saya berbincang dengan ibu bapa arwah, tidak timbul sebarang isu berkaitan buli. Mengikut maklumat yang diterima, arwah hadir ke sekolah seperti biasa dan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak sekolah telah diarahkan menjalankan penelitian lanjut bagi mengenal pasti faktor yang mungkin menyumbang kepada kejadian tersebut.

**media[3557189]**

Menurutnya, setakat ini juga tiada maklumat yang menunjukkan mangsa mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak berkuasa dan meminta orang ramai agar tidak menyebarkan gambar atau rakaman berkaitan insiden berkenaan demi menghormati privasi keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan ditemukan meninggal dunia di sekolah

Fadhlina minta masyarakat hormati keluarga pelajar, kes sedang disiasat

Pelajar maut di sekolah: Tiada unsur buli setakat ini - KP Pendidikan

**media[3557203]**

KPM juga akan menyediakan bantuan psikososial kepada ahli keluarga, rakan sekelas serta guru yang terkesan dengan kejadian itu.

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai seorang pelajar yang ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah pada kira-kira pukul 10.48 pagi.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan saksi dan laporan bedah siasat. - Bernama